IQAMAH dialunkan melalui pembesar suara. Saya lekas mengatur langkah menuju ke masjid. Apabila tiba, saya lihat jemaah sudah penuh dua saf. Saya berdiri di saf ketiga. Di kiri dan kanan sudah ada dua tiga orang lagi yang baru sampai dan sama-sama membentuk saf. Saya rapat-rapatkan tumit dan bahu, betulkan saf sungguh-sungguh. Meyakini bahawa saf bukan pada lurusnya sahaja, tapi juga pada rapat dan akrabnya tubuh. Apa yang mengecewakan saya, jemaah masjid walau di mana-mana tidak suka merapatkan tubuh dan bahu bila berdiri dalam saf. Maka saf pun jadi bengkang-bengkok macam ular kena palu dan pada hari ini, seperti hari-hari sebelumnya, saya masih kecewa. Apabila saya rapatkan tubuh kepada makmum di sebelah kanan, dia menjauh sedikit dan jangan diharap pada makmum di sebelah kiri yang memang tidak mahu akrab sejak tadi. Saya kira, jika jemaah saf pertama dan kedua membetulkan saf sungguh-sungguh, merapatkan bahu dan tubuh, sudah tentu tidak akan wujud saf yang ketiga ini.
Aduhai! Saya ingin mengangkat takbir, tetapi terhenti apabila tersentak dengan makmum di sebelah kanan yang angkat takbir berulang-ulang dan tersekat-sekat pula. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!!” Sekali lagi. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!” Masih tak menjadi. “Allahhhh… Allahhhhhuuu… Akbar!” Saya jadi hangat. Lekas saya sabarkan hati kerana solat baru sahaja bermula. Namun, Allah mahu menguji sungguh-sungguh kesabaran saya apabila solat telah bermula dan dia membaca al-Fatihah dengan suara yang kuat. Malah siap berlagu pula dengan kepala tergeleng-geleng. Yang paling menjuakkan tidak puas hati, dia masih begitu, mengulang-ulang ayat beberapa kali. Saya seperti ingin berkata kepadanya waktu itu juga; was-was itu datangnya daripada syaitan! Semasa solat saya cuba hadirkan hati buat menggapai khusyuk. Tetapi acap kali konsentrasi saya terganggu oleh makmum di sebelah kanan.
Seusai memberi salam dan berzikir, saya bingkas dan menunaikan solat sunat selepas maghrib disusuli solat sunat hajat. Apabila selesai, saya bingkas dan ingin mencapai mashaf, tetapi benak pantas teringatkan pesanan Imam al-Ghazali tentang salah satu daripada hak solat berjemaah. Pesanan itu beragaman dan mengapung di benak. Saya membatalkan hasrat mengambil mashaf. Lantas tercari-cari makmum di sebelah kanan saya tadi. Dia kelihatan sedang duduk bersila di saf yang ketiga, menghadap mihrab. Saya menghampiri dan duduk di sebelahnya. Saya lihat wajahnya dari sisi, maka tahulah saya yang umurnya sudah renta. Saya rasa tak sedap hati. Bagaimana saya ingin menunaikan tanggungjawab dan hak ini? Saya tahu, saya perlu menunaikan hak untuk menegur dan memperingatkan jika melihat orang lain yang kurang betul atau melakukan kesalahan dalam solatnya.
Berilah pengajaran dan pengetahuan. Imam al-Ghazali seperti berbisik rapat di telinga saya. Aduh, apakah tindakan saya ingin menegur sekarang ini, dalam waktu ini juga, adalah tindakan yang wajar? Apatah pula saya baru berpindah dua hari di kawasan ini dan mahu pula menegur seorang yang sudah agak renta, mungkin juga sudah bermastautin lama di sini. Apakah ini adalah tindakan yang waras? Apakah saya akan dituduh memandai-mandai dan tunjuk lagak? Pesanan Imam al-Ghazali mengapung lagi. Bergema dalam hati. Saya membulatkan nekad. Saya perlu mencegah. Saya tidak mahu bersubahat dan sama-sama menanggung dosa. Orang tua itu kelihatan sedang khusyuk berdoa. Saya menunggu beberapa detik.
Setelah melihat dia meraup kedua tangannya ke muka, saya memberi salam dengan nada yang paling lembut. Dia memandang saya dengan kening berkerut seraya menjawab salam. Saya tersenyum kepadanya seraya bertanya, “Pakcik apa khabar?” Dia masih kerut kening dengan wajah diserkup pelik. “Alhamdulillah.” Suaranya mendatar. Saya tahu, waktu ini saya perlu berhati-hati mengeluarkan kata-kata. Saya perlu membeli kepercayaannya dahulu. Saya lantas memperkenalkan diri dan latar belakang, kemudian menghulurkan tangan. Kami berjabat. Dia saya kenali sebagai pakcik Muhsin. Setelah berbual dengannya beberapa minit, maka betullah telahan saya yang dia sudah lama tinggal di kawasan ini. Malah, rumahnya juga karib dengan masjid. Waktu ini, saya sudah mula merasakan keakraban, justeru saya kira kami sudah bersedia melanjutkan perbualan kepada mauduk utama.
“Apa pendapat pakcik tentang saf jemaah di masjid ini?” Senyuman masih tekal di bibir saya. “Bagus.” Dia mengangguk kepala sedikit. Saya tersenyum lagi. Kemudian memandang mihrab. Sebetulnya ingin memancing respons. “Kenapa?” Suaranya kedengaran serak-serak. “Saya kira kurang baik, pakcik. Walaupun baru dua hari di sini, saya lihat saf di sini masih bengkang-bengkok. Jemaah juga tidak mahu merapatkan bahu bila berdiri bersama.” Saya kembali memandangnya dengan senyuman. Saya tahu, senyuman ada kuasa memikat, selain pahala bersedekah. “Itu tak jadi masalah.” Dia bersuara acuh tak acuh. Saya terkedu sedikit. Senyuman saya mati. Di situ, keegoannya sudah mula terserlah. Saya memujuk hati dan membacakan sebuah hadis riwayat Muslim tentang saf, “Luruskan barisanmu, jangan bengkang-bengkok; kerana barisan yang bengkok nescaya akan menyebabkan hatimu berpecah belah.”
“Saf ni asas solat berjemaah pakcik, kesempurnaan solat berjemaah. Kalau kita sambil lewa, matlamat untuk mengakrabkan silaturrahim sesama Muslim itu tak akan tercapai. Hati kita akan bengkang-bengkok seperti saf itu. Penuh hasad, iri, takbur dan macam-macam lagi.” Saya bersuara lembut dan moga-moga akan menusuk ke kalbunya. “Lagi?” Nada suaranya ditinggikan. Ya, kini saya sudah mula merasakan suatu gejolak. “Cara solat pakcik. Saya nasihatkan sebelum solat, pakcik bacalah surah an-Nas dan berta’awuzlah, mohon perlindungan daripada syaitan yang direjam. Was-was itu datangnya daripada syaitan dan kejahilan.” Saya mengukir senyuman semanis madu.
Orang tua itu tiba-tiba mendengus. “Apa? Aku jahil?”
Matanya terbeliak memandang saya. Saya terkesiap. Sungguh, saya benar-benar tidak menjangka akan menerima reaksi sedemikian. Saya menarik nafas dalam-dalam. Pandangannya tidak saya balas dan kembali terlempar ke arah mihrab. Saya perlu mewujudkan jeda. “Aku cuba untuk khusyuk.” Pakcik Muhsin tiba-tiba berkata perlahan setelah berlalu beberapa detik. Saya gesit memandangnya. Dia pula lekas mengalih pandang ke arah mihrab. Tidak mahu bertentang mata. Hati saya dijentik kagum. Rasa kasihan juga bercampur baur. Ya, sekarang inilah waktu yang paling sesuai untuk saya menyampaikan dan memberikan pedoman.
“Izinkan saya memberikan formulanya, pakcik.” Saya memandang sisi wajahnya. Dia langsung tidak memandang saya. Geleng pun tidak, angguk pun tidak. “Pakcik perlu hadirkan hati.” Saya perasan kening pakcik Muhsin yang berkerut. “Maksudnya, hati itu mesti dikosongkan daripada segala sesuatu yang tidak ada sangkut paut dengan solat. Yang ada hanya Tuhan yang ingin kita sembah.” Dia kelihatan mengangguk sedikit. Riaknya itu sudah cukup sebagai pendorong semangat saya berbicara. Saya senyum, kemudian membacakan firman Allah dalam surah Taha ayat 14, “dan dirikanlah solat untuk mengingati Daku.” Kemudian saya iringkan dengan surah al-A’raf ayat 205, “Dan janganlah engkau menjadi orang-orang yang lalai.”
“Kelekaan dan kelalaian itu adalah lawan kepada mengingati. Jika lalai dalam solat, bagaimanakah ingin dikatakan seseorang itu ingat kepada Allah? Solat bukan pada zahir sahaja, tapi juga pada batinnya.” Saya bacakan pula ayat 43 daripada Surah an-Nisa’, “hingga kamu sedar dan mengetahui apa yang kamu katakan.”
“Walaupun ayat ini adalah sebagai dalil melarang orang-orang yang sedang mabuk mendirikan solat sebelum pengharaman arak secara mutlak, tetapi ayat ini juga boleh digunakan sebagai larangan bagi orang-orang yang leka, lalai dan orang-orang yang dihinggapi penyakit was-was.”
Masjid itu tiba-tiba berdengung dengan bunyi motosikal. Saya berhenti seketika. Budak-budak rempit ini memang tidak pernah kenal ketololan mereka. Setelah bunyi itu reda, pakcik Muhsin memandang tunak wajah saya, saya tersenyum sepicing dan kembali menyambung. “Pakcik lihat sekarang, ramai orang yang mengerjakan solat atau mengaku menunaikan solat, tapi aurat terbuka sana, terbuka sini, senang kata, maksiat atau dosa tetap mereka lakukan. Sedangkan kita maklum, solat itu mencegah perkara yang keji dan mungkar. Berdasarkan sebuah hadis riwayat Tabrani, “Barang siapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perbuatan keji dan mungkar, maka orang itu tidaklah ditambah oleh Allah melainkan jauh, yakni jauh dari kebenaran.” Bermakna, kalimah-kalimah dalam solat hanya meniti di bibir sahaja, tidak mengalir ke dalam hati. Atau mereka gagal menghadirkan hati.” Saya menerangkan bersungguh-sungguh.
“Orang yang gagal menghadirkan hati ni seperti orang yang mengigau, pakcik.” Saya sengaja tidak memandang kepada pakcik Muhsin. Pandangan saya jatuh ke arah mihrab yang terbentang sejadah imam itu, tapi minda dan hati jauh berkelintar. “Mengigau?” Pakcik Muhsin yang baru saya kenali itu menyoal. Daripada bunyi nadanya saya tahu dia sedang kepelikan. Pesanan Imam al-Ghazali beragaman dalam benak saya. “Ya pakcik. Orang yang lalai ini seperti orang yang mengigau dalam tidur. Apakah orang yang berkata-kata dalam tidur dikira sebagai ucapannya sendiri atau igauan semata-mata? Adakah kata-kata ‘pakcik sudah pergi ke London’ semasa dalam tidur, orang akan percaya dan terima?” Pada perkataan London itu saya menyebutnya menggunakan ejaan Melayu seraya terkerisin.
Saya membetulkan sila.
Pakcik Muhsin menunggu dengan mata terkejip-kejip. “Jadi, solat kita semasa lalai, segala ayat-ayat dalam solat kita lafazkan sedangkan hati kita alpa, tidak jaga dan tidak hadirkan hati, adalah seperti orang yang mengigau, tidak tahu apa yang diucapkan, tidak sedar dan apakah solat kita akan diterima Tuhan?”
Saya kembali memandangnya. Namun, saya sangkakan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pakcik Muhsin bangun tiba-tiba dan memandang saya sepicing sebelum berlalu ke arah mihrab. Ada tiga orang jemaah di saf yang pertama menghadap mihrab, yang saya rasakan orang-orang kuat masjid. Hati saya diterpa bermacam rasa. Walang, bimbang dan gentar bercampur baur. Saya menghela nafas dan lekas beristighfar. Meyakinkan hati, bahawa kemenangan itu adalah untuk orang-orang yang benar. Saya teringat firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 165, “Maka tatkala mereka melupakan (tidak menghiraukan) apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang daripada perbuatan jahat itu dan Kami timpakan orang-orang zalim dengan azab seksa yang amat berat, disebabkan mereka berlaku fasik.”
Hati saya hanya mampu mendoakan agar pakcik Muhsin tidak termasuk di kalangan golongan yang disebut Allah dalam ayat ini. Golongan yang tidak menghiraukan, tidak mempedulikan apabila datang peringatan kepada mereka. Saya melihat jam, waktu masih awal. Masih ada masa lebih kurang tiga puluh minit sebelum masuk fardu Isyak. Saya lekas bingkas dan mengambil mashaf, kemudian beriktikaf semula di tempat yang sama. Namun, belum pun sempat saya membuka mashaf, ada orang memegang tangan saya. Saya terkedu apabila melihat pakcik Muhsin berada di sisi saya dan meminta saya bangun.
“Bangunlah. Pakcik sudah cadangkan pada imam dan jawatankuasa untuk membenarkan anak memberikan tazkirah. Mereka setuju.” Saya bingkas dan menurutinya dalam pinga. “Adalah tidak adil jika anak menyampaikan ilmu untuk pakcik seorang saja. Apa yang ingin anak sampaikan penting dan perlu juga disampaikan kepada jemaah.” Dia mengukir senyum. Senyuman yang julung-julung kalinya tentu! Serentak itu saya terdengar suara imam meminta semua jemaah menumpukan perhatian di hadapan. Saya terkesima. Subhanallah! Hati saya diterpa kagum tak henti-henti. Zikir dalam hati bertemali. Saya melangkah dan duduk di mihrab.
Sebelum memulakan kuliah, saya memandang pakcik Muhsin yang duduk karib di sebelah kanan, kemudian ke arah jemaah di sekitar masjid. Jiwa saya ketika itu beragaman dengan diksi - ayuh, kita hadirkan hati =)!
0 komentar:
Post a Comment