Ramai orang yang tahu sesuatu kebaikan tetapi masih malas melakukannya. Dan ramai yang tahu sesuatu kejahatan tetapi masih tega melakukannya.

Semua itu kerana mereka belum 'mahu', dan baru sekadar 'tahu'...

Pengetahuan itu dicapai melalui proses belajar manakala kemahuan dibina dengan mempraktikkan apa yang telah kita pelajari. Dengan mempraktikkan ilmu barulah ilmu yang bertapak di akal dapat dipasakkan ke dalam hati. Oleh sebab itu 'tahu' tempat letakkannya di akal tetapi 'mahu' itu letaknya di hati.


Imam Ghazali berpesan nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa

Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap.

Latihan menundukkan hawa nafsu ini perlu dilaksanakan sedikit demi sedikit tetapi istiqamah selaras dengan sabda Rasulullah s.a.w.:

"Amalan yang baik ialah amalan yang berterusan (konsisten) sekalipun sedikit."

"Alah bisa, tegal biasa," begitulah nafsu yang jahat jika dilatih berterusan untuk melakukan kebaikan, akan terbiasalah nafsu itu dengan kebaikan dan kebajikan.

Namun, jika nafsu tidak terurus manusia akan jatuh ke tahap yang lebih hina daripada haiwan (makhluk nafsu tanpa akal)...

Melawan hawa nafsu bagi maksud mengawal, mengurus dan mengendalikannya adalah wajib kerana kita hanya wajar menjadi hamba Allah.

Demikian yang dapat difahami daripada kaedah, 

"tidak sempurna sesuatu yang wajib melainkan dengan sesuatu itu maka sesuatu itu juga menjadi wajib."
Berdasarkan itu, jika kita tidak berbuat demikian, sudah tentu kita akan berdosa. Bukankah syurga itu hanya ada pada mereka yang menundukkan kehendak nafsunya kepada kehendak Allah? Firman Allah:

"Dan adapun orang-orang yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri daripada nafsunya, maka sungguh syurgalah tempat tinggalnya" (Surah al-Naziat: 40-41)
 

Jangan menoleh ke belakang... tempuhlah jalan mujahadah~!

Itulah jalan yang penuh saadah (kebahagiaan). Walaupun itu adalah jalan yang payah, tetapi itulah jalan yang paling mudah.

Sememangnya tidak ada jalan pintas untuk B.E.R.U.B.A.H!
 

 




















*Ustaz Pahrol Mohd Juoi
http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1015-lawan-hawa-nafsumu-tiada-jalan-pintas.html