Apabila ditanya kepada mana-mana muslimah, suami yang macamana anda idam-idamkan,rata-rata menjawab yang mampu membimbing nya hingga ke syurga,baik yang tidak bertudung hinggalah kepada yang bertudung labuh tutup satu badan.Bagus,hal ini merupakan satu perkembangan yang sihat,baik untuk si wanita ,mahupun untuk Islam sendiri. Persoalannya,lelaki yang bagaimana dianggap lelaki yang mampu memimpin seorang wanita ke gerbang syurga?
 
Yang berserban sebesar pasu bunga?
Yang berilmu sehingga mampu mengeluarkan hukum-hakam?
Yang berkepimpinan sehingga tiada perempuan lain berani dekati?
Yang pandai bercakap sehingga semua orang menghormatinya?
Tidak,bukan kesemua di atas....

Menilai seseorang berdasarkan luaran bukanlah satu perbuatan yang pintar. Memang kadang-kadang luaran menggambarkan dalaman namun bukan semua luaran itu menggambarkan dalaman seseorang.Langkah yang pertama sebelum anda memilih calon suami,perhatikan dia dan kenal dia betul-betul.

Maksud kenal dia betul-betul tidak semestinya anda mendekatinya,tetapi cukuplah dengan bertanya kepada sahabat-sahabat yang rapat dengannya,bagaimana perangainya di rumah.Kebiasaannya lelaki berkelakuan baik di hadapan wanita atau kita panggil sindrom ini sebagai ‘control macho’.Jadi, bila anda berhadapan dengannya,janganlah sesekali menyangka dia sudah cukup sempurna bagi anda,mungkin anda tertipu.

Bagaimana pula umi dan abi?Umi dan Abi tidak pernah kenal satu sama lain tetapi mereka bahagia?Mereka bahagia dengan pilihan atuk dan nenek.

Teori pilihan ibu bapa ini sudahpun lapuk ketinggalan zaman.Dengan keadaan remaja yang makin hari,makin parah,menjadikan teori ini kuno dan tidak bernilai lagi.Ibu bapa sudah tidak mengenal wajah sebenar anak masing-masing.Jadi sangatlah bahaya untuk memperjodohkan anak orang lain dengan anak sendiri yang bermuka-muka.Anda mahu setelah anda berkahwin,lelaki anda berkata, “masa sekolah dulu abang pernah ‘buat’ dengan si fulan binti si fulan.”Picit dahi,tanyalah iman.

Berbalik kepada persoalan lelaki yang bagaimana mampu memimpin anda ke syurga.Lelaki yang harus anda cari adalah seorang lelaki yang memahami hak-hak wanita dan berazam untuk memenuhinya.Sukar untuk dicari tetapi anda harus cari,ini perihal masa depan anda,masa depan anak anda,masa depan anak kepada anak anda.Jika baik si bapa,maka baiklah si anak dan jika teruk si bapa,teruk lagi si anak,bak kata pepatah, “ayah kencing berdiri,anak kencing berlari”.

Jika perlu untuk anda bertanya kepadanya,maka tanyalah.Jangan disebabkan anda malu bertanya,anda terpaksa menempuh hidup sengsara dengannya seumur hidup anda atau jodoh anda akan berakhir dengan lafaz talak.Lafaz yang halal tetapi dibenci oleh Allah. Nauzubillah.

“errr…awak tahu tak apa itu hak-hak wanita?”, tanya Amirah sambil tunduk ke bawah kerana malu.

Jika dia tahu,maka apa lagi yang patut ditunggu?Memang selalunya timba cari perigi tetapi tidak salah kalau perigi mencari timba.Buktinya,Si perigi Mastura nampak hidup bahagia dengan si timba Syawal dalam cerita Ahmad Albab.( ^^)
 
..."Persoalan seterusnya,apakah hak-hak wanita yang harus si suami soleh tunaikan?"...

Kebanyakan lelaki yang hidup di alaf moden ini tersalah anggap.Bagi mereka, tugas mengemas rumah,membersih pakaian,memasak tomyam, menjaga anak adalah tugas si Isteri.Jadi ramai yang berlepas tangan. Baring di hadapan tv sambil mengorek giginya yang sedikit jongang.

Hakikatnya,kerja-kerja membersih pakaian,menjaga anak,memasak adalah tugas suami.Para isteri tidak wajib melakukan semua perkara ini,tugas si Isteri hanyalah menggembirakan si Suami.Namun,tugas-tugas ini akan menjadi wajib apabila si Suami mengeluarkan arahan.Tetapi,jika si Isteri ingin meminta bayaran kerana penat mengemas rumah,memasak tomyam, Islam membenarkannya.

Hak isteri yang ramai sudah tahu ialah nafkah daripada suami,nafkah harta mahupun nafkah batin. Melihat situasi yang berlaku sekarang,ramai suami isteri yang memegang konsep ‘duit aku,duit aku dan duit engkau,duit engkau’.Konsep ini ditentang keras oleh Islam kerana konsep ini pada hakikatnya berat sebelah,konsep ini melebihkan lelaki.Mana tidaknya,isteri sudahpun menjadi miliknya,kini duit pula?Islam menyarankan para isteri memegang konsep ‘duit aku,duit aku dan duit engkaupun duit aku’.isk.....

Kaya manapun si isteri,Islam mewajibkan si suami memberi nafkah. Tugas suami melindungi isteri,jadi si suami wajiblah berusaha dengan sungguh-sungguh untuk melindungi isterinya,baik dari segi fizikal mahupun mental.

Hak yang seterusnya,lelaki haruslah bersabar lebih ketika bergurau dengan isteri.

Imam Ghazali berkata dalam Ihya’ Ulumuddin, “menanggung sedikit bencana akan suami dek kerana bergurau,bercakap dengan isteri disuruh oleh syarak.”

‘Wanita diciptakan daripada tulang rusuk lelaki’.

Yang dimaksudkan dengan ayat di atas bukanlah Hawa diciptakan daripada tulang rusuk nabi Adam tetapi ayat di atas menggambarkan sifat sebenar wanita.Keras manapun tulang rusuk,dia akan bengkok.Begitu juga dengan wanita,keras manapun seorang wanita itu,dia akan merajuk. 

.."Sifat semulajadi seorang wanita,dia cepat marah dan dia cepat menyesal.".. 
Jadi,tatkala dia marah,Islam menyuruh si suami bersabar kerana marahnya seorang perempuan tidak lama.Bila dia menyesal,dia akan lagi menghormati si suami dek kerana kesabaran si suami.

Rasulullah,seorang pemimpin negara yang hebat,seorang Rasul yang sibuk dengan tugas kerasulan,akan merendahkan martabatnya apabila dia berhadapan dengan isterinya,Aishah.Semasa bersama Aishah,Rasulullah bergurau senda sehingga perangai Rasulullah ketika itu menyerupai perangai kanak-kanak.Baginda berlumba lari dengan Aishah,kadang-kadang Rasulullah menang dan kadang-kadang Rasulullah kalah.

Jangan pandang benda ini sambil lewa,perkara ini merupakan satu tarbiyah yang besar kepada kita.Cuba fikirkan bagaimana Rasulullah boleh kalah dengan Aishah dalam berlari sedangkan kekuatan Rasulullah adalah sama dengan pemuda syurga?Bermakna Rasulullah buat-buat kalah bagi menggembirakan hati Aishah.

Macam kita apabila bermain dengan kanak-kanak.Kadang-kadang apabila kanak-kanak itu bermain tembak-tembak dengan kita,kita berpura- pura mati.Begitulah yang dilakukan oleh Presiden Madinah.Di tempat kerjanya, dia adalah seorang yang serius tetapi apabila bersama dengan isteri,dia berlembut.Disebabkan kelembutan yang ditunjuk oleh Rasulullah inilah membuatkan isteri-isterinya sangat-sangat menghormatinya.

Apabila diperhatikan suami-suami sekarang,berbeda sungguh dengan Rasulullah.Di tempat kerja,suami inilah yang paling banyak bercakap. Suami inilah yang menghidupkan suasana di pejabat.Namun,apabila suami ini pulang ke rumah,rumah yang bising menjadi senyap.Kehadiran suami ini telah menutup segala kebaikan di dalam rumahnya.

Semuanya berlaku apabila si suami bimbang isteri tidak menghormatinya jika dia berperangai seperti budak-budak di rumah.Seriusnya si suami ini sehingga si isteri berfikir berpuluh-puluh kali untuk meminta sesuatu. Apabila bersemuka dengan suami ini,si isteri tergagap-gagap, apa yang difikirnya sebentar tadi hilang begitu sahaja.Semuanya gara-gara si suami yang tidak memahami hak seorang isteri.

Sabda nabi, “barang siapa mengharamkan ramah-tamah di dalam rumahnya, Allah mengharamkan kebaikan di dalam rumahnya.”

Tambah nabi dalam hadis yang lain, “Wahai Aishah,sesungguhnya Allah itu sifatnya ramah(Al-Rafiq),sukakan orang yang ramah(Rifqa) dan Allah akan bagi anugerah kepada sesiapa yang ramah benda yang Allah tidak bagi kepada orang bersikap sombong.”

Suami yang memenuhi hak isteri,suami yang mendengar setiap keluhan hati si isteri.Walaupun suami penat baru balik berkerja,jika dia suami yang tahu hak isterinya ke atasnya,dia akan mendengar suara isterinya walaupun kadang-kadang apa yang diberitahu oleh isterinya itu tidak logik pada akal.Kalau inilah yang berlaku,rumah tangga akan berkekalan. Insya Allah.

Kalau si suami balik dari kerja,campak beg di atas meja dan bermuka masam,pasti si isteri tidak akan senang dengannya.Jika hari-hari inilah yang berlaku,yakinlah bahawa si isteri akan mengharapkan si suami berada di tempat kerja lama-lama,lagi lama lagi dia suka.Bila tengok muka suaminya,dia juga akan tertekan jadi dia pilih untuk tidak tengok.Akhirnya , lafaz cerailah yang akan keluar daripada mulut si suami.

Dengan memenuhi kedua-dua hak ini,seorang lelaki itu belum lagi boleh dianggap sebagai lelaki yang mampu memimpin tangan anda ke syurga. Yang paling penting,agama.Hak anda untuk menuntut agama daripada suami anda.Suami wajib membimbing isteri dalam beragama, menjadi imam apabila mendirikan solat,menjadi ketua apabila musafir, menjadi pengharapan bilamana datangnya cubaan.
 


..'Jika suami sedar bahawa ilmunya tidak lah setanding dengan ilmu isterinya, maka benarkanlah isteri anda menuntut ilmu agama. Berilah mereka sokongan dan dalam masa yang sama,muhasabahlah diri anda. Anda juga harus belajar kerana anda akan disoal oleh Allah tentang isteri anda...'...

Secara kasarnya,inilah hak-hak wanita yang patut dipenuhi lelaki dan sewajarnya anda,tidak kisahlah anda lelaki atau perempuan, sewajarnya anda mengetahui hak-hak ini supaya rumah tangga yang bakal anda bina sempurna.Sememangnya banyak lagi hak-hak isteri yang wajib suami tunaikan dan anda juga perlu ingat,banyak juga hak-hak suami yang wajib isteri tunaikan.

Jangan asyik mengharapkan untuk menerima,nanti anda yang akan menyesal. 

Anda pulang dari tempat kerja dengan penat lelah,anda harapkan isteri yang sedang menunggu di rumah menyambut anda dengan senyuman.

Sebaliknya,pada isteri anda,dia penat melakukan kerja rumah dan dia harapkan anda pulang dengan senyuman.

Jika dua-dua mengharap, jawabnya tidak ke mana.Kedua-dua tidak akan senyum.Namun,jika anda memberinya,insya Allah,anda akan dapat balik.Percayalah.

Tiada nasihat lain yang mampu sy berikan kepada kaum Hawa selain daripada sabda Rasulullah.Walaupun hadis ini ditujukan kepada kaum Adam tetapi percayalah,hadis ini juga berguna kepada kaum Hawa. Rasulullah bersabda yang mafhumnya,kahwinlah seseorang disebabkan keturunan,wajah,harta dan agamanya,yang paling baik ialah agamanya.

Hanya orang agama sahaja faham hak-hak wanita,maka pilihlah yang beragama dan pilihlah yang menerima anda seadanya,bukan kerana keturunan anda,bukan kerana harta anda,bukan kerana wajah anda,tapi kerana anda adalah anda:)

Semoga kita menjadi satu pasangan yang berkekalan sehingga ke syurga…..Jangan akhiri hubungan kita dengan lafaz yang dibenci oleh Allah..